Ahad, 12 Jun 2011

TAKAFUL KELUARGA vs TAKAFUL PERUBATAN KESIHATAN


TAKAFUL KELUARGA

Pengenalan


Ini merupakan panduan sebagai pengenalan untuk membantu anda memahami takaful keluarga. Ia memberikan maklumat asas supaya anda boleh mengajukan soalan yang betul dan memahami jawapan yang diberikan oleh pengendali takaful serta membuat keputusan yang tepat sebelum menyertai sesuatu pelan takaful.

 Apakah takaful keluarga?


Takaful keluarga memberikan anda perlindungan serta memperoleh simpanan jangka panjang. Anda atau waris anda akan mendapat manfaat dalam bentuk kewangan jika anda ditimpa kemalangan. Pada masa yang sama, anda akan menikmati simpanan persendirian jangka panjang kerana sebahagian daripada caruman anda akan didepositkan ke dalam sebuah akaun untuk tujuan simpanan. Anda akan menikmati pulangan pelaburan daripada caruman simpanan berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui.

Jika anda menyertai takaful keluarga, anda layak untuk mendapat pelepasan cukai perseorangan seperti insurans nyawa. Amaun maksimum bagi pelepasan takaful keluarga biasa ialah RM5,000 setahun setelah ditolak caruman yang dibayar kepada skim faedah saraan, seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Bagi pelan perubatan dan pelajaran, pelepasan cukai ialah RM3,000 setahun.


Konsep takaful dan takaful keluarga



Apabila anda menyertai takaful keluarga, anda akan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful. Anda akan memeterai perjanjian (aqad) bagi sebahagian daripada caruman anda sebagai caruman penyertaan (tabarru’) dan sebahagian lagi sebagai simpanan dan pelaburan.
 Caruman anda dalam bentuk tabarru’ akan dimasukkan ke dalam sebuah dana (Akaun Khas Peserta atau AKP) yang akan digunakan untuk memenuhi tanggungjawab anda dalam saling membantu sekiranya salah seorang peserta ditimpa musibah seperti kematian atau hilang upaya kekal. Jika anda masih hidup sehingga tarikh matang pelan tersebut, anda layak untuk berkongsi lebihan bersih daripada dana itu, jika ada.



Pengendali takaful akan melaburkan caruman simpanan dan pelaburan anda (Akaun Peserta atau AP) dan keuntungan akan dikongsi antara anda dan pengendali takaful berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui.


Jenis perlindungan


Takaful keluarga boleh dibahagikan seperti berikut:


• Keluarga biasa


-Takaful keluarga individu (perseorangan) – Ini termasuk pelan pelajaran, gadai janji, kesihatan dan ‘rider’. Anda akan menerima manfaat kewangan jika berlaku kematian atau hilang upaya kekal, serta simpanan jangka panjang (pelaburan) dan keuntungan pelaburan yang akan diberikan sekiranya dituntut, matang atau serahan awal.
 -Takaful keluarga berkumpulan (majikan, kelab, persatuan dan kesatuan) – Ini termasuk pelan pelajaran berkumpulan, perubatan berkumpulan, kesihatan dan ‘rider’. Jumlah minimum peserta dikehendaki untuk layak memasuki pelan ini. Anda akan mendapat perlindungan dalam bentuk manfaat kewangan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.


• Anuiti
Pelan yang memberi pendapatan tetap selepas anda bersara.


• Berkaitan pelaburan

Sebahagian daripada caruman anda akan digunakan untuk membeli unit-unit pelaburan seperti unit saham atau sekuriti pendapatan tetap. Perlindungan takaful merangkumi kematian dan hilang upaya kekal.
 Takaful keluarga 'rider' merupakan tambahan kepada pelan takaful keluarga asas. 'Rider' memberi perlindungan sekiranya berlaku kemalangan diri dan hilang upaya, perubatan dan kesihatan.


Manfaat di bawah takaful keluarga


Sekiranya anda meninggal dunia sebelum pelan takaful anda matang, pengendali takaful akan membayar kepada penama (wasi) anda, manfaat-manfaat berikut:


Daripada AP anda


Amaun yang telah terkumpul di dalam AP anda serta keuntungan pelaburannya dari tarikh penerimaan pelan takaful hingga tarikh pembayaran sebelum kematian.
 Daripada AKP anda


Jumlah perlindungan risiko atau tabarru’.
 Jika anda masih hidup sehingga tarikh matang, anda layak untuk menerima manfaat- manfaat berikut:


Daripada AP anda


Amaun yang telah terkumpul di dalam AP anda serta keuntungan pelaburannya.


Daripada AKP anda


Lebihan bersih yang diperuntukkan kepada anda, jika ada.

 


Terma dan syarat utama


Mustahak bagi anda memahami terma-terma yang digunakan dalam takaful keluarga. Jika anda tidak pasti dengan maksud sesuatu terma itu, anda hendaklah bertanya kepada ejen anda atau pengendali takaful. Oleh kerana sijil merupakan kontrak yang sah, maksud-maksud yang termaktub di dalam sijil tersebut akan diguna pakai semasa tuntutan dibuat.


Sebahagian daripada terma-terma penting ialah:


Caruman – Ini ialah ansuran caruman takaful anda yang dibayar kepada pengendali takaful. Anda boleh memilih untuk membayar caruman secara bulanan, suku-tahunan, separuh-tahunan ataupun tahunan.



Tempoh tangguh – Anda akan dibenarkan tempoh tangguh selama 30 hari untuk menjelaskan bayaran ansuran caruman takaful. Jika anda meninggal dunia semasa tempoh tangguh, ansuran caruman takaful yang belum dijelaskan akan ditolak daripada jumlah manfaat takaful anda.



Tempoh matang – Anda boleh memilih sebarang tempoh matang yang sesuai untuk keperluan anda. Julat tempoh ini ialah dari 10 tahun hingga 40 tahun.


Ciri-ciri penting takaful keluarga


Sebahagian daripada ciri-ciri penting takaful keluarga ialah:


• Terbuka kepada semua individu berumur antara 18 hingga 55 tahun.


• Anda mempunyai pilihan tempoh matang.


• Tidak ada pelucuthakan jika berlaku pembatalan


• Kemudahan untuk mengeluarkan sebahagian daripada caruman.


• Perkongsian lebihan dengan pengendali takaful.


• Menyediakan simpanan dan pelaburan jangka panjang.


Pengecualian


Takaful keluarga pada lazimnya tidak melindungi perkara-perkara berikut:


Percubaan membunuh diri atau mencederakan diri sendiri dengan sengaja sama ada semasa anda siuman atau tidak.


• Jika anda melanggar undang-undang.


• Jika anda memprovokasi serangan.


• Jika anda berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.


• Jika anda menghidap AIDS atau HIV.


• Sebab-sebab lain yang dilarang oleh undang-undang Syariah.
Beritahu penama (wasi) anda
Beritahu penama anda tentang takaful keluarga yang anda sertai, sebarang perubahan yang telah dibuat dan tempat di mana anda menyimpan dokumen-dokumen tersebut.
Simpan dokumen-dokumen tersebut di tempat yang selamat. Letakkan maklumat-maklumat asas seperti nama pengendali takaful, jenis pelan, nombor sijil dan nama-nama penama di tempat yang berasingan.
Pastikan anda memaklumkan alamat penama anda dan pertukaran, jika ada, kepada pengendali takaful anda.


Bagaimanakah saya membuat tuntutan?
Pengendali takaful akan membuat pembayaran kepada anda atau penama anda, bergantung kepada terma dan syarat di dalam sijil anda. Semasa membuat tuntutan:
Maklumkan kepada pengendali takaful anda dengan segera. Untuk tuntutan matang, sediakan salinan sijil takaful keluarga.


Untuk tuntutan kematian, penama anda hendaklah menyediakan dokumen-dokumen berikut:
• Salinan sijil kematian yang disahkan;


• Salinan kad pengenalan simati;


• Sijil takaful asal;


• Bukti hubungan antara orang yang membuat tuntutan dan simati; dan


• Dokumen-dokumen lain yang diminta oleh pengendali takaful.


Bagaimana membuat aduan dan saluran penyelesaian yang tersedia


• Sekiranya anda mempunyai aduan tentang produk atau perkhidmatan pengendali takaful atau anda tidak berpuas hati dengan penolakan atau tawaran penyelesaian tuntutan, anda hendaklah terlebih dahulu menyelesaikan aduan itu dengan Unit Aduan pengendali takaful berkenaan.


• Sekiranya anda masih tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah dicapai, anda boleh menulis sama ada kepada Biro Pengantaraan Kewangan (FMB) atau Bank Negara Malaysia yang akan mengendalikan aduan anda secara percuma. Anda mungkin ingin merujuk kepada pegawai di Unit Aduan pengendali takaful mengenai saluran yang betul untuk mengendalikan aduan anda.


• Sekiranya anda ingin mengemukakan aduan anda kepada FMB, ianya hendaklah dibuat dalam tempoh enam bulan dari tarikh keputusan muktamad pengendali takaful. FMB mengendalikan pertikaian di antara pihak menuntut dan pengendali takafulnya sendiri atau pengendali takaful pihak ketiga.

• FMB merupakan sebuah badan bebas yang menyediakan saluran pengendalian aduan yang cepat, mudah dan cekap bagi pengguna membuat aduan atau menyelesaikan pertikaian mereka sebagai alternatif kepada mahkamah.
• Walau bagaimanapun, FMB tidak mengendalikan pertikaian yang melibatkan harga produk takaful dan isu pengunderaitan, kes penipuan dan kes yang telah atau sedang dirujuk kepada mahkamah.
• Selain itu, aduan yang dirujuk kepada FMB adalah terhad kepada:-
o RM200,000 bagi pelan takaful motor dan kebakaran
o RM100,000 bagi pelan takaful yang lain
o RM5,000 bagi kerosakan harta pihak ketiga
• Bagi kes yang bukan di bawah bidang kuasa FMB, anda boleh mengemukakan aduan itu kepada BNM.
Maklumat terperinci tentang cara-cara membuat aduan boleh didapati di dalam buku kecil bertajuk 'Asas-asas Insurans dan Takaful'.


 
VS

Takaful perubatan dan kesihatan





Pengenalan
 Ini merupakan panduan sebagai pengenalan untuk membantu anda dalam memahami takaful perubatan dan kesihatan. Ia memberikan maklumat asas supaya anda boleh mengajukan soalan yang betul dan memahami jawapan yang diberikan oleh pengendali takaful serta membuat keputusan yang tepat sebelum menyertai sesuatu pelan takaful.



Apakah takaful perubatan dan kesihatan?


Takaful perubatan dan kesihatan memberi perlindungan terhadap kos rawatan perubatan persendirian seperti kos hospital dan penjagaan kesihatan, jika anda didiagnosis menghidap penyakit tertentu atau terlibat dalam kemalangan. Perlindungan tersebut boleh diambil secara berasingan atau sebagai kontrak tambahan kepada pelan takaful keluarga asas.
 Konsep takaful dalam takaful perubatan dan kesihatan


Apabila anda menyertai takaful perubatan dan kesihatan, anda akan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful dalam bentuk caruman penyertaan (tabarru'). Anda akan memeterai perjanjian (aqad) bagi membolehkan anda menjadi salah seorang peserta yang bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain, sekiranya salah seorang peserta ditimpa musibah seperti dimasukkan ke hospital atau didiagnosis menghidap penyakit tertentu.



Jenis perlindungan



Perlindungan yang disediakan oleh takaful perubatan dan kesihatan adalah seperti berikut:
• Fi profesional dan perkhidmatan hospital – Pelan ini memberi perlindungan kepada anda terhadap perbelanjaan perkhidmatan hospital dan fi profesional akibat kecederaan atau penyakit yang dialami, seperti caj wad, caj pembedahan dan caj unit rawatan rapi. Manfaat-manfaat ini boleh dihadkan kepada amaun maksimum dan/ atau bilangan hari.
• Manfaat penghospitalan – Di bawah pelan ini, anda akan diberi elaun harian bagi setiap hari anda berada di hospital disebabkan oleh penyakit dan/ atau kecederaan, tertakluk kepada bilangan hari maksimum.
• Penyakit kritikal – Pelan ini memberi manfaat sekali pembayaran sekiranya anda didiagnosis menghidap salah satu daripada penyakit-penyakit kritikal yang dinyatakan di dalam sijil.


Pengendali takaful boleh menawarkan pelan-pelan takaful tersebut secara individu atau gabungan. Anda perlu berhati-hati apabila memilih pelan yang memenuhi kehendak anda dengan memahami ciri-ciri, syarat-syarat, manfaat-manfaat, had-had, dan pengecualian sesuatu pelan takaful.

 
Bagaimanakah saya menyertai takaful perubatan dan kesihatan



Anda boleh menyertai takaful perubatan dan kesihatan melalui:



• Pelan individu - Anda menyertai pelan takaful secara individu; atau
• Pelan kumpulan - Pelan di mana majikan anda mencarum kepada dana takaful atau setiap pekerja mencarum kepada dana takaful. Jika pelan kumpulan itu disertai menerusi keahlian atau skim kad, anda perlu mendapatkan butir-butir lanjut mengenai terma


pengurusan di antara pengurus skim dengan pengendali takaful. Sila pastikan perlindungan di bawah skim tersebut ditawarkan oleh pengendali takaful yang berdaftar.


Kos pelan takaful individu secara amnya lebih tinggi daripada pelan takaful kumpulan. Walau bagaimanapun, anda boleh menyesuaikan pelan takaful perubatan dan kesihatan untuk memenuhi keperluan anda berdasarkan kemampuan kewangan anda.


Manfaat yang dilindungi di bawah pelan takaful perubatan dan kesihatan



Pembayaran manfaat bergantung kepada jenis pelan yang anda sertai. Anda perlu merujuk kepada sijil mengenai maklumat lanjut manfaat yang diberi seperti perkara yang dilindungi dan tidak dilindungi serta bila dan bagaimana manfaat akan dibayar.



Antara perlindungan yang dirangkumi di bawah pelan takaful perubatan dan kesihatan ialah:


• Penghospitalan

• Unit rawatan rapi

• Rawatan pesakit luar

• Lawatan pemeriksaan oleh doktor

• Pembedahan

• Bius

• Perkhidmatan ambulans

• Manfaat kematian

• Lawatan sebelum masuk hospital


Perlindungan di bawah pelan penyakit kritikal merangkumi 36 jenis penyakit kritikal lazim seperti di bawah:


• Serangan sakit jantung

• Pembedahan pintasan arteri konorari

• Kegagalan buah pinggang

• Pemindahan organ utama

• Sklerosis berganda

• Buta

• Pekak

• Hilang suara

• Kelecuran api yang teruk

• Penyakit terminal

• Jangkitan HIV daripada pemindahan darah

• Jangkitan HIV yang diperolehi melalui pekerjaan

• Anemia aplastik

• Tumor otak benigna

• Strok

• Barah

• Hepatitis fulminan

• Kelumpuhan

• Hipertensi arteri pulmonari utama

• Pembedahan injap jantung

• Pembedahan aorta

• Penyakit Alzheimer

• Koma

• Penyakit neuron motor

• Penyakit Parkinson

• Kecederaan teruk kepala akibat kemalangan yang menyebabkan trauma

• Distrofi otot

• Kuman ensefalitis
• Penyakit hati kronik
• Meningitis bakterial akut
• Sindrom apalik

• Pembedahan otak

• Poliomelitis

• Penyakit-penyakit koronari lain yang serius
• AIDS peringkat lewat
• Penyakit paru-paru kronik


Senarai ini mungkin berbeza antara pengendali takaful. Manfaat penyakit kritikal hanya akan dibayar sekiranya anda masih hidup sekurang-kurangnya 30 hari selepas didiagnosis menghidap penyakit kritikal.


Terma dan syarat utama


Mustahak bagi anda memahami terma-terma yang digunakan dalam takaful perubatan dan kesihatan. Jika anda tidak pasti dengan maksud sesuatu terma itu, anda hendaklah bertanya kepada ejen anda atau pengendali takaful. Oleh kerana sijil merupakan kontrak yang sah, maksud-maksud yang termaktub di dalamnya akan diguna pakai semasa membuat tuntutan.



Sebahagian daripada terma-terma penting ialah:
 • Keadaan sedia ada – Penyakit yang sedia ada sebelum tarikh pelan berkuat kuasa, yang mana anda sedang menerima rawatan atau telah menunjukkan tanda-tanda menghidap penyakit tersebut. Jika anda telah berjumpa doktor bagi sebarang kesakitan atau ketidakselesaan, ia akan dianggap sebagai tanda-tanda hilang upaya.
• Rawatan luar negeri – Anda boleh mendapat perlindungan terhadap rawatan yang diterima di luar negeri, tertakluk kepada pengecualian, had dan syarat yang dinyatakan di dalam sijil takaful.

• Salah nyata umur – Umur anda merupakan faktor utama di dalam takaful perubatan dan kesihatan. Jika anda tersilap menyatakan umur anda dan mengakibatkan caruman yang lebih rendah, sebarang tuntutan di bawah sijil tersebut akan dipro rata, bergantung kepada caruman yang dibayar dengan caruman yang sepatutnya dibayar.
• Tempoh layak – Kelayakan terhadap manfaat di bawah pelan takaful hanya akan bermula selepas 30 hari dari tarikh sijil berkuat kuasa.


Pengecualian


Takaful perubatan dan kesihatan pada lazimnya tidak melindungi perkara-perkara berikut:


• Penyakit sedia ada semasa memohon menyertai takaful.
• Tuntutan terhadap penyakit atau kecederaan akibat daripada perlakuan yang melanggar atau menyalahi undang-undang.
• Kehamilan atau kelahiran.
• Penyakit venereal, jangkitan atau parasit.

• Pembunuhan atau serangan fizikal.
• Pembedahan plastik atau kosmetik.


Bagaimanakah saya membuat tuntutan?


Sebelum anda menerima sebarang rawatan, hubungi pengendali takaful anda untuk memastikan sama ada perlindungan anda merangkumi rawatan yang akan anda terima.
 Jika perbelanjaan anda termasuk di bawah perlindungan sijil perubatan dan kesihatan, anda dinasihatkan untuk membuat perkara-perkara berikut:


• Memberi notis bertulis kepada pengendali takaful dengan segera.

• Menyediakan dokumen-dokumen berikut:

o Semua bil dan resit asal.

o Laporan lengkap doktor mengenai diagnosis penyakit yang dirawat.

o Pendapat doktor mengenai tarikh penyakit mula dihidapi.

o Keterangan ringkas mengenai kos rawatan termasuk perubatan dan perkhidmatan yang diterima.
 Penting bagi anda mematuhi nasihat perubatan kerana pengendali takaful tidak akan bertanggungjawab sekiranya anda memerlukan rawatan atau perkhidmatan akibat kegagalan anda mematuhi nasihat tersebut.
 Bagaimana membuat aduan dan saluran penyelesaian yang tersedia


ƒ Sekiranya anda mempunyai aduan mengenai produk atau perkhidmatan pengendali takaful anda atau anda tidak berpuas hati dengan penolakan atau tawaran penyelesaian tuntutan, anda hendaklah terlebih dahulu cuba menyelesaikan aduan itu dengan Unit Aduan pengendali takaful berkenaan.


ƒ Sekiranya anda masih tidak berpuas hati dengan keputusan yang dicapai, anda boleh menulis sama ada kepada Biro Pengantaraan Kewangan (BPK) atau Bank Negara Malaysia (BNM), yang akan mengendalikan aduan anda secara percuma. Anda mungkin ingin merujuk kepada pegawai di Unit Aduan pengendali takaful mengenai saluran yang betul bagi mengendalikan aduan anda.
 ƒ Sekiranya anda ingin mengemukakan aduan anda kepada BPK, ianya hendaklah dibuat dalam tempoh enam bulan dari tarikh keputusan muktamad pengendali takaful. BPK mengendalikan pertikaian di antara pihak menuntut dan pengendali takafulnya sendiri atau pengendali takaful pihak ketiga.


ƒ BPK adalah sebuah badan bebas yang menyediakan saluran pengendalian aduan yang cepat, mudah dan cekap bagi pengguna membuat aduan atau menyelesaikan pertikaian mereka sebagai alternatif kepada mahkamah.
 ƒ Walau bagaimanapun, BPK tidak mengendalikan pertikaian yang melibatkan harga produk takaful dan isu pengunderaitan, kes penipuan dan kes yang telah atau sedang dirujuk kepada mahkamah.



ƒ Selain itu, aduan yang dirujuk kepada BPK adalah terhad kepada:-



o RM 200,000 bagi pelan takaful motor dan kebakaran

o RM 100,000 bagi pelan takaful yang lain

o RM 5,000 bagi kerosakan harta pihak ketiga

 
ƒ Bagi kes yang bukan di bawah bidang kuasa BPK, anda boleh mengemukakan aduan itu kepada BNM.



Maklumat terperinci tentang cara-cara membuat aduan boleh didapati di bawah topik


Maklumat Am bertajuk 'Asas-asas Insurans dan Takaful'.


*Pening-pening, x tau mane satu nak pilih.. Tengah survey2...



Khamis, 2 Jun 2011

PENGENALAN TAKAFUL

“Takafala” bererti saling menjamin, saling menjaga dan saling memelihara. Konsep yang berasaskan kepada hubungan persaudaraan Islam, rasa saling tanggung jawab dan saling berkerjasama di kalangan peserta. Sumbangan kewangan berdasarkan kepada tabarru’ Bukan kontrak jual beli. Dana tabarru’ bukanlah milik syarikat tetapi syarikat hanyalah wakil sebagai pengendali dana. Lebihan akan dikongsi berdasarkan mudharabah atau caj yang dikenakan kepada peserta (wakalah).

DALIL TAKAFUL
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan” (Surah Al-Maidah: 2)

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong sebahagian yang lain….” (Surah Al-Taubah: 71)

“Sesungguhnya seseorang yang beriman ialah sesiapa yang memberi keamanan (keselamatan dan perlindungan) terhadap harta dan jiwa raga manusia” (Riwayat Ibnu Majah)

KONSEP TAKAFUL
Pelbagai pendapat tetapi kesemuanya berpendapat kontrak insurans adalah fasid (defective) kerana terdapatnya unsur-unsur berikut:
1- Gharar (ketidakpastian)
2- Maisir (perjudian)
3- Riba (riba)
Ulama tidak menolak insurans secara keseluruhannya tetapi kepada sebahagian kelemahan yang terdapat pada kontrak insurans

Larangan Gharar
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan redha-meredhai antara kamu” (Surah Al-Nisa’: 29)
“Rasulullah telah melarang jualan dengan membaling batu dan perniagaan tidak pasti (gharar)” (Riwayat al-Baihaqi)

Gharar Dalam Insurans
Menurut Ibn Taimiyyah: Gharar berlaku apabila satu pihak mendapat keuntungan sementara sebelah pihak lagi tidak menerimanya. Gharar wujud di dalam kontrak insurans kerana Ma’kud ‘Alaih (barang) tidak jelas:
1- Samada dapat atau tidak bayaran yang dijanjikan?
2- Berapakah kadar bayarannya?
3- Bilakah masanya pampasan akan dibayar?

Larangan Perjudian
Islam melarang perjudian kerana ia merosakkan masyarakat.
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya meminum arak, berjudi, menyembah berhala, menilik nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan”
(Surah Al-Ma’idah: 90)

Larangan Riba’
Islam menghalalkan jual beli yang bebas daripada riba kerana ia menindas golongan yang lain.
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keuntungan”
(Surah Ali 'Imran: 130)
“Mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, sedangkan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” (Surah al-Baqarah: 275)

Cara Penyelesaian
1- Menukar dasar kontrak tersebut daripada dasar jual beli kepada kontrak berdasarkan tabarru’
2- Tabarru’ adalah derma / sumbangan ikhlas
3- Tabarru’ menghapuskan gharar, maisir & riba
4- Melabur di pelaburan yang diluluskan oleh Majlis Pengawasan Syariah